Agensi Berita Antarabangsa Ahlul Bait (ABNA): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sebagai biadab tuduhan Israel yang melabel aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas.
Beliau berkata, pelayaran GSF ke Gaza adalah misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis, yang sebenarnya ialah pengganas sebenar.
"Suara siapa ini? Daripada Israel, pengganas terbesar. Peserta (GSF) ini tidak bawa senjata, tidak bunuh sesiapa.
"Mereka bawa makanan, minuman dan ubat-ubatan. Macam mana GSF boleh di label sebagai pengganas? Ini kenyataan yang biadab," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Jalan Pantai Sentral 2, Lembah Pantai di sini hari ini.
Anwar membalas kenyataan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang dalam rakaman video menuduh aktivis GSF yang ditahan oleh rejim itu sebagai pengganas.
Sementara itu, Anwar berkata beliau telah terima maklumat bahawa sukarelawan Malaysia dalam misi GSF itu masih tetap semangat walaupun ditahan Israel.
Beliau berkata mereka telah memberi sumbangan besar dalam meningkatkan kesedaran global tentang kekejaman Zionis.
"Walaupun ada yang kata mereka tidak sampai ke Gaza, ia harus difahami bahawa mereka berhadapan dengan rejim penjajah yang kejam.
"Apa yang mereka lalui telah buka mata ratusan juta orang di seluruh dunia. Mereka berkorban, harungi ombak di laut, hadapi ketidakpastian keselamatan diri, malah semua telefon mereka dibuang ke dalam laut," katanya.
Semalam, Pengarah Pusat Komando Sumud Nusantara Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia telah ditahan oleh tentera Israel selepas komunikasi terputus dan rakaman visual menunjukkan mereka ditahan.
Mereka yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (menaiki bot Hio); Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Razali Awang (Inana); influencer Nurul Hidayah Mohd Amin, atau Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
GSF, yang terdiri daripada lebih 500 aktivis dari 44 negara, belayar ke Gaza sebagai simbol perpaduan dan usaha untuk memecah sekatan Israel.
Misi kemanusiaan ini menarik perhatian global dengan penyertaan figura antarabangsa, termasuk aktivis alam sekitar Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Your Comment